BANGSA Melayu adalah sebuah bangsa yang besar dan mempunyai tamadun yang tinggi semenjak sebelum Masehi lagi. Bahkan, penemuan Perak Man pada 1991M di Gua Gunung Runtuh, Lenggong yang dikatakan berusia lebih 10,000 tahun membuktikan tradisi kebudayaan tinggi telah wujud dalam Bangsa Melayu. Tamadun Palaeolithic ini membuktikan telah ada kehidupan manusia di Alam Melayu sejak sekian lama, seperti mana jejak mereka dikesan di Gua Cha, Kelantan dan Gua Niah di Sarawak. Eskavasi yang dibuat di Solo, Jawa pada 1891M pula telah menemui rangka manusia zaman Homo Erectus, menunjukan kehidupan awal juga wujud di kawasan Kepulauan Melayu.

Kemunculan Bangsa Melayu dalam tamadun dunia telah menarik perhatian seorang ahli Geografi dan Astronomi Greek, Claudius Ptolemy memasukkan Semenanjung Tanah Melayu yang dinamakan sebagai Golden Chersonese sebagai salah satu bahagian yang penting di dunia dalam bukunya "Geography" yang diterbitkan pada 150M. Alam Melayu terkenal kerana kekayaan buminya dengan emas dan hasil tanaman terutama rempah ratus, penguasaan Maritim yang merupakan laluan perdagangan utama dunia serta kewujudan Empayar-empayar Maritim yang besar sejak awal Masehi yang menjadikan Alam Melayu tumpuan para pelayar dan pedagang dari seluruh dunia. Prof Hamka mencatatkan bahawa perkataan "kaafura" dalam Surah al-Insan (76: 5) adalah merujukan kepada wangian kapur yang dikeluarkan di Barus, Sumatera. Kapur Barus ini menjadi tanda bahawa orang Arab telah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan Alam Melayu.

Kehidupan Maritim dan Agraria: Penguasa Perdagangan Antarabangsa

Kehidupan laut di kawasan Khatulistiwa telah menjadikan Alam Melayu sebagai kawasan subur dengan hasil pertanian. Selain mengeluarkan buah-buahan tropika dan menghasilkan tanaman makanan seperti beras, Alam Melayu sangat terkenal kepada menjadi pengeluar rempah ratus utama dunia. Rempah ratus adalah eksport utama Alam Melayu ke India dan Arab, bahkan Rom juga. Kerana itu, Alam Melayu mendapat perhatian pengkaji-pengkaji Geografi Rom sejak awal Masehi. Faktor rempah juga kemudiannya menjadikan Alam Melayu Pusat perebutan kekayaan penjajah Barat selepas abad ke-15M, sedangkan British memanfaatkan kesuburan tanah untuk membawa Hevea Brasiliensis (getah) dari Brazil untuk ditanam di Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi pengeluar utama dunia.

Merangsang kemajuan pertanian, terutama industri rempah ialah kedudukan Maritim yang strategik. Pulau-pulau rempah yang menjadi nadi Nusantara di sebelah Timur mempunyai perhubungan yang cekap dengan kota-kota pelabuhan di sepanjang Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Jalan laut melalui selat-selat sempit antara pulau-pulau telah memudahkan proses perhubungan, sedangkan kota-kota seperti Langkasuka, Palembang, Perlak, Kataha (Kedah), Panduranga (Phan Rang), Sunda Kelapa (Jakarta) dan Varuna (Brunei), telah mempunyai hubungan Perdagangan Antarabangsa dengan China, India, Parsi dan Arab sejak sekian lama. Tarikh Fathani mencatatkan Kota Pelabuhan di Pattani (dahulunya Langkasuka) didatangi oleh pedagang antarabangsa termasuk dari Arab, Parsi dan India, sehingga Alam Melayu menjadi sebuah kawasan politik dan ekonomi yang kuat ketika itu.

The Golden Chersonese: Bumi yang kaya

Salah satu kekuatan Alam Melayu ialah kerana kekayaan hasil galian seperti emas, timah dan besi. Sumber galian ini didapati secara meluas terutama di Semenanjung Tanah Melayu. Tanah yang disebut sebagai "Sang Mujung" (kemudian menjadi Semenanjung) ini terkenal dalam catatan India dan Rom sebagai Pusat pengeluaran emas utama dunia, selain timah dan besi. Berbanding kawasan kepulauan yang kaya dengan rempah, Semenanjung Asia Tenggara ini menjadi pengeluar logam berharga sehingga ia disebut sebagai The Golden Chersonese (Semenanjung Emas) oleh Sarjana Rom, sedangkan pelayar India menyebutnya sebagai Suvarnabhumi (Tanah Emas) atau Suvarnadvipa (Semenanjung Emas). Beberapa ahli Geografi Greek dan Rom seperti Eratosthenes, Dionysius Periegetes dan Pomponius Mela mencatatkan Tanah Melayu sebagai Chryse Insula (Pulau Emas). Martin of Bohemia dalam catatan globnya pada 1492M, menamakan Tanah Melayu sebagai Chryse and Argyre Isle (Pulau Emas dan Perak), sedangkan peta Andreas Walsperger (1448M) menyebutnya Aurea Cersonese (Semenanjung Emas).

Disebabkan oleh masyhurnya Tanah Melayu sebagai pengeluar emas utama dunia, Ptolemy telah mencatatkan beberapa kota pelabuhan dan sungai-sungai utama seperti Takola (dipercayai Trang di Pattani), Konkonagara (dipercayai Ganga Negara di Perak), Sabara atau Sabana (dipercayai Selangor), Tharra (belum dipastikan lokasinya), Palanda (dipercayai Kota Tinggi, Johor), Kalonka (dipercayai di Pahang), Kole Polis (dipercayai Kelantan) dan Primula (dipercayai delta sungai di Terengganu). Tiga sungai juga dicatatkan iaitu Khrysoanas (Sungai Emas - gabungan Sungai Trang di Pattani dan Sungai Perak), Palandas (Sungai Johor) dan Attabas (Sungai Pahang). Lebih menarik lagi, beliau turut mencatatkan perkataan "Maleou-kolon" atau Titik Melayu menggunakan perkataan "Melayu". Catatan terperinci tentang Tanah Melayu oleh Ptolemy ini memberi gambaran tentang pentingnya kedudukan Alam Melayu terhadap tamadun dunia ketika itu.

Tokoh-tokoh politik Melayu

Kemunculan Empayar Melayu terawal, Empayar Yawadipa pada abad terakhir Sebelum Masehi telah dicatat dalam Vayu Purana, catatan sejarah Kerajaan Gutpa (320-647M) di India. Empayar ini dipimpin oleh Sri Kripawarman (Wan Pa), pemimpin politik Melayu paling berpengaruh ketika itu dengan kerajaannya berpusat di Medan Gana (sekarang Kelantan). Pada tahun 68M, adiknya, Kaundinyawarman telah mengasaskan Empayar Funan, sebuah kerajaan yang berpusat di Indo-China. Pada zaman kemuncaknya, Funan telah menguasai Yawadipa. Memasuki abad kelima Masehi, lahir seorang Tokoh Besar di Chih-tu (Kelantan), Raja Guatama yang terkenal dalam catatan China itu. Kemunculan Guatama sebagai Tokoh Politik Melayu adalah hampir serentak dengan Badhravarman I, pemimpin terkenal Empayar Champa pada 380M dan Bhagadatta (m. 515M), pemimpin Langkasuka yang beragama Hindu.

Di daerah kepulauan, telah lahir Tokoh-tokoh Politik Besar di Jawa dan Sumatera sesuai dengan kemunculan Empayar-empayar besar di sana. Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang mendirikan Kerajaan Srivijaya pada 671M adalah antara Tokoh Melayu terpenting abad ketujuh, sebelum cucunya Sri Indrawarman (702-728M) menjadi Raja terbesar Sriwijaya dan mempunyai hubungan dengan Daulah Umayyah di Damsyik. Pada abad ke-12 dan 13M, dua Tokoh Politik Melayu yang besar ialah Maharaja Srimat Thribuwanaraja Mauliwarmadewa yang menguasai Bhumi Melayu (Dharmasraya) yang berpusat di Utara Tanah Melayu, dan Maharaja Kartanegara yang menguasai Bhumi Jawa (Singasari). Ken Arok (1222-1227M) yang mengasaskan Kerajaan Singasari di Jawa juga merupakan Tokoh Besar, sebelum munculnya pengasas Majapahit Raden Wijaya (1294-1309M), yang melahirkan Tokoh Besar seperti Hayam Wuruk (1350-1389M) dan Patih Gajah Mada (m. 1364M), Perdana Menteri yang terkenal itu.

Di kalangan Tokoh-tokoh Politik Melayu yang terkenal di Nusantara ini, Sri Indrawarman (702-728M) yang memerintah Sriwijaya dikatakan Raja yang pertama memeluk Islam pada zaman Daulah Umayyah, sedangkan keturunan Raja Sriwijaya yang lain kekal beragama Buddha sehingga Parameswara, pengasas Kerajaan Melaka memeluk Islam pada 1414M. Terdahulu, Raja Jawaka di Utara Semenanjung, Raja Sakranta (1253-1267M) telah memeluk Islam, sebelum Raja Champa yang beragama Buddha, Che Bo Nga telah memeluk Islam pada 1360M. Keturunan Raja Langkasuka yang bergilir-gilir beragama Hindu dan Buddha telah beriman dengan Islamnya Raja Pya Tu Nakpa pada 1457M, manakala Raden Patah (1455-1508M), anak Raja terakhir Majapahit, Brawijaya (m. 1478), telah memeluk Islam pada 1475M dan menukar kerajaannya menjadi Kerajaan Mataram. Dengan peng-Islam Tokoh-tokoh Politik Melayu ini, bumi Nusantara mula menjadi wilayah kekuasaan Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
4 Syawal 1439 / 18 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 18/6/2018

SAYA membaca satu posting tulisnya "Selagi pembawaan Islam itu cara PAS, Islam itu tidak akan menang selamanya, jangan mimpilah".

Namun ini bukannya telahan pertama yang dibaca tetapi ianya adalah untuk kesekian kalinya oleh pembenci-pembenci PAS.

Dia kata cara PAS akan menyebabkan Islam tak menang sampai bila-bila. Dia tak beritahu pula Islam cara mana yang boleh Islam cepat menang, Islam cara BN ke atau Islam cara PH?

Kalau dikatakan Islam itu tidak menang kerana cara PAS, apakah Islam itu boleh menang dengan sebab cara PH atau cara BN, sekarang PH menang tak ada pula pimpinan PH isytiharkan bahawa Islam telah menang dan golongan Kafir telah kalah.

Bila Islam kalah saja dikatakan hanya silap PAS sahaja? Apakah parti lain tidak dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk membawa Islam? Atau memang parti lain tak nak bawa Islam atau langsung tak berniat nak bawa Islam.

Bila PAS kalah dikatakan Islam itu kalah, ini maknanya kalau PAS menang ertinya Islam menang, ini juga membawa makna hanya PAS yang berjuang Islam kerana parti lain langsung tidak dikait dengan menang atau kalahnya Islam.

Islam itu matlamat, untuk mencapai matlamat itu ada caranya, caranya telah ditentukan Allah S.W.T, bukan ikut cara sendiri. bukan matlamat itu menghalalkan cara, kalau ikut cara sendiri maka itulah yang dikatakan "matlamat menghalalkan cara".

Nak menang banyak caranya, Trumph menang dengan caranya, Ikhwanul Muslimin menang dengan caranya lalu dijatuhkan pula al-Sisi dengan caranya, bahkan dalam sejarah dunia, Sosialis, Komunis pun pernah menang dan memerintah, mereka menang dengan cara mereka.

Ada parti menang dengan cara jahat, ada dengan sogokan rasuah, ada juga dengan fitnah dan taburkan persepsi buruk pada lawannya.

Kalau yang jahat dapat kuasai pengundi, maka biasanya yang jahat itu menang, begitu juga sebaliknya, namun kita tak boleh katakan bahawa yang jahat itu adalah baik dengan sebab dia menang dan yang baik itu adalah jahat dengan sebab dia kalah.

Baik atau buruk kita kena melihat caranya. Islam itu ad-Din atau 'cara hidup', tidak kira apa juga ruang dan urusan kehidupan kita termasuk politik. Politik Islam ada caranya, maka cara itu yang diikuti PAS, kerana PAS yakin cara Islam adalah terbaik.

Kalau dikatakan cara itu PAS lambat menang, PAS akan sabar menunggunya kerana PAS yakin bahawa hanya cara itu sahajalah Malaysia dapat ditadbir oleh peraturan Islam, PAS tetap dengan caranya yang diatur oleh dasarnya iaitu al-Quran, Hadis, Ijma dan Qias.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang - HARAKAHDAILY 18/6/2018

LAPORAN terbaharu daripada Moody’s Investors Service berkenaan kesan polisi-polisi baru kerajaan terhadap profil penarafan ekonomi Malaysia, menyatakan bahawa peralihan kuasa yang sedang berlaku kini telah menyebabkan ketidaktentuan polisi.

Pandangan daripada hasil analisa Moody’s tersebut amat analitikal dan kritikal dan mampu menyebabkan penarafan negatif terhadap pasaran dan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya. Penarafan negatif akan menyebabkan beberapa kesan negatif dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang.

Penarafan negatif akan menjejaskan keyakinan pelabur asing kepada pasaran modal Malaysia dengan substantif. Ini telah terbukti dengan penarikan keluar modal oleh pelabur asing daripada pasaran Bursa Malaysia secara konsisten sejak mula terbentuknya kerajaan baru Malaysia. Data terkini daripada MIDF Amanah Investment Bank Berhad menunjukkan jumlah terkini yang telah ditarik keluar oleh pelabur asing adalah RM3.02 billion.

Komposisi pelabur asing, walaupun bukan yang terbesar dalam jumlah pelaburan pasaran Malaysia, namun ianya adalah amat signifikan. Mengikut laporan Bursa Malaysia 2017, jumlah dana yang disumbangkan oleh pelaburan asing mewakili 22% daripada saiz dana di Bursa Malaysia. Ini adalah angka yang amat besar dan menyediakan sumber kecairan yang penting dalam pembiayaan kepada aktiviti ekonomi Malaysia.

Dengan penarikan keluar tersebut maka jumlah kecairan dalam pasaran Malaysia akan susut dengan teruk yang seterusnya akan membantutkan perkembangan dan pembangunan sektor korporat Malaysia. Lebih daripada itu aliran keluar modal juga akan menjejaskan pasaran saham tempatan dalam sentimen yang amat negatif.

Dalam tempoh jangka panjang, penarafan negatif juga akan menyebabkan profil risiko Malaysia juga akan merosot dengan teruk. Ini secara langsung akan mempengaruhi kadar faedah yang akan digunakan oleh pasaran Malaysia. Kadar faedah akan meningkat selaras dengan dengan kemerosotan profil risiko Malaysia. Kesan daripada itu kos untuk pembiayaan aktiviti ekonomi di Malaysia akan bertambah mahal yang akan merencat perkembangan korporat, penawaran pekerjaan dan seterusnya permintaan domestik.

Justeru, Kerajaan disarankan lebih berhati-hati dalam menguruskan perubahan polisi-polisi kini dan mengambil kira sensitiviti pasaran bagi menjaga kepentingan pasaran dan rakyat. Dalam apa saja tindakan, kepentingan rakyat haruslah menjadi keutamaan dan bukan hanya untuk mendapat publisiti sementara.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
03 Syawal 1439H / 17 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 17/6/2018

SEBAGAIMANA yang diungkap oleh Snouck Hurgronje dalam teori The Greater India, semenjak awal abad pertama Masehi, seluruh Alam Melayu dipengaruhi oleh India dari segi pemikiran, kebudayaan, agama dan tamadun. Faktor utamanya adalah kerana hubungan perdagangan yang lama antara kedua-dua kawasan, selain kedudukan India yang lebih terkehadapan dari segi budaya dan ilmu, terutama dengan munculnya tamadun besar di Lembah Indus, iaitu Mohenjo Daro (2600-1500SM) dan Harappa (3000-1900SM). Lembah Indus yang menjadi Pusat Agama Hindu kemudiannya menyebarkan kebudayaan mereka termasuk Bahasa Sanskrit, tulisan Palava, Sastera India, corak kerajaan dan agama Hindu itu sendiri kepada orang Melayu.

Satu aspek yang penting dalam perkembangan kebudayaan dan Tamadun Melayu ialah kebangkitan yang berteraskan agama. Disebabkan hubungan dan pengaruh India, Kerajaan-kerajaan yang berkembang pada peringkat awal adalah mengikut agama orang India. Dalam sejarah India, selepas kemerosotan Tamadun Indus, muncul beberapa Kerajaan Hindu seperti Weda (1700-600SM), Mahajanapada (600-300SM), Nanda (400-300SM) dan Mauriya (332-185SM).

Kemudian, berlaku kebangkitan Buddha apabila Kerajaan Maghada dan Kalasoka muncul pada tiga abad terakhir SM, sehingga melahirkan Tokoh besarnya, Ashoka (269-232SM). Kerajaan-kerajaan Satawahana (230-199SM), Kushan (30-375M), Gupta (240-550M) dan Pala (750-1174M) adalah antara Kerajaan Buddha yang terbesar di India. Dalam pada itu, sekitar abad keempat Masehi, di Selatan India bangkit Kerajaan Chola (300-1279M) yang beragama Hindu, yang mula menjadi empayar besar pada abad kesembilan, telah mengubah semula India menjadi Benua Hindu dan pernah menyerang kawasan Buddha di Nusantara termasuk Tanah Melayu dan Sumatera (Sriwijaya) pada 1025M. Selepas zaman ini, India dikuasai pula oleh Islam dengan kemunculan Kerajaan Ghaznawi (962-1186M), Ghori (1186-1287M), Delhi (1290-1526M) dan Mughal (1526-1857M).

Kerajaan-kerajaan Melayu yang awal

Ketika Bangsa Melayu mulai menjadi kerajaan yang besar, pengaruh Hindu sudah mulai merosot dan agama Buddha sedang berkembang. Kerajaan Melayu terawal yang muncul ialah Funan (100-545M) dan Champa (192-1832M) yang berpusat di Indo-China. Setelah itu muncul beberapa kerajaan seperti Langkasuka (abad 2-14M), Tambralinga (abad 7-14M), Kedah Tua (abad 5-11M), Pan-pan (abad 3-5M), Chih-tu (abad 2-7M), Tan-tan (abad 5-7M) dan Ganga Negara (abad 2-11M) di Tanah Melayu. Dalam tempoh-tempoh tertentu, dikatakan Kerajaan-kerajaan ini pernah bergabung membentuk beberapa kerajaan besar seperti Empayar Sampugita, Jawaka dan Malaiyur.

Di kawasan kepulauan, kerajaan terbesar yang pernah muncul ialah Seriwijaya yang beragama Buddha dan Majapahit, sebuah Kerajaan Hindu. Antara kerajaan lain yang terkenal termasuklah Salakanagara (abad 2M), Kutai (abad 4M), Tarumanagara (358-669M), Sunda Galuh (669-1579M), Sailendra (abad 8-9M), Kanjuruhan abad 8-9M), Medang (752-1045M), Kadiri (1045-1221M), Singasari (1222-1282), Pajajaran (1482-1579), Dharmasraya (abad 12-14M) dan lain-lain. Kebanyakan kerajaan ini adalah beragama Hindu dan Buddha sepanjang satu alaf (1-1000M), sehinggalah muncul Majapahit pada 1293M yang memacu semula pengaruh Hindu di Nusantara, setelah lebih 500 tahun dikuasai oleh Seriwijaya sejak abad ketujuh Masehi yang mengembangkan agama Buddha.

Kerajaan-kerajaan utama dan kebangkitan Islam

Di samping munculnya Kerajaan-kerajaan Hindu-Buddha di seluruh Nusantara sepanjang 12 abad pertama Masehi, terdapat beberapa kerajaan utama atau Empayar Melayu yang menguasai politik dan ekonomi Nusantara. Antaranya ialah Funan (100-545M). Funan yang terletak di Lembah Mekong (sekarang Vietnam) menguasai kawasan Indo-China hingga Utara Tanah Melayu. Serentak dengan Funan, muncul Kerajaan Langkasuka di Semenanjung Tanah Melayu dan berpusat di Segenting Kra pada abad kedua Masehi yang menguasai Laut China Selatan di sebelah Timur dan Selat Melaka di Barat. Pada ke-12, ia telah menjadi naungan Seriwijaya. Selepas Kejatuhan Funan pula, di Sumatera telah muncul kerajaan Seriwijaya sekitar 670-1183M. Kerajaan Buddha ini menguasai semua laluan perdagangan utama Asia Tenggara kerana kedudukannya di antara Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Selepas jatuhnya Seriwijaya kerana serangan Kerajaan Chola pada 1025M, Kerajaan Hindu Majapahit muncul di Pulau Jawa dan menguasai hampir seluruh Asia Tenggara sepanjang abad ke-14 dan 15 Masehi.

Memasuki abad ke-11M, Nusantara mulai menerima Islam sebagai kebudayaannya yang baru. Serentak dengan berkembangnya Islam di India pada abad ke-10M, Kerajaan-kerajaan baru yang beragama Islam muncul, bahkan di sesetengah tempat, Kerajaan Hindu dan Buddha telah bertukar menjadi Kerajaan Islam. Kerajaan Islam terawal muncul ialah Perlak pada 840M, Kelantan (1181M), Ternete (1257M), Samudera-Pasai (1267M) dan Champa (1360M) sebelum Melaka menjadi Pusat pengembangan agama Islam pada abad ke-15. Sejak munculnya Kerajaan Melaka pada 1400M, penguasaan politik Nusantara telah beralih kepada Islam dan Majapahit mulai mengalami kemerosotan dan digantikan oleh Kerajaan Demak (1475-1554M) yang beragama Islam. Di Utara Semenanjung, Kerajaan Langkasuka telah digantikan oleh Kerajaan Pattani dengan peng-Islaman Raja Pya Tu Nakpa pada 1457M. Abad ke-15M menjadi abad peralihan Tamadun Nusantara ekoran kebangkitan Islam sebagai cara hidup yang baru bagi orang Melayu.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
3 Syawal 1439 / 17 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 17/6/2018

KUALA TERENGGANU: Semua cadangan dan sumbangan pemikiran anak-anak Terengganu di perantauan akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri dalam usaha memajukan negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis pertemuan dengan perantau adalah pendekatan terbaik kerajaan negeri untuk bermesra dan mendekati seluruh anak-anak perantau.

Memetik laporan Buletin Online, ujarnya majlis tersebut adalah medan yang sesuai untuk mendapatkan pandangan dan cadangan dari rakan-rakan perantau.

“Pada masa yang sama, majlis ini menjadi tempat kepada kerajaan negeri menyampaikan hasrat dan misi kerajaan serta menjawab isu-isu semasa yang melibatkan pentadbiran dan politik,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Bersama Anak-Anak Terengganu Di Perantauan 2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Konvensyen Duyong Marina and Resort, malam tadi. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' A Rahman Yahya dan Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan raya PAS Pusat menambah, tugas kerajaan yang dipilih untuk bangun mendepani masa mendatang dengan politik kasih sayang, politik matang dan sejahtera yang diamalkan oleh parti itu.

“Ini merupakan anjakan pemikiran supaya rakyat tidak takut dengan perubahan, yang dilakukan dalam proses demokrasi negara kita.

“Kita bangun dengan poliitik yang lebih harmoni ke dalam masyarakat, bukan politik kebencian (tetapi) politik yang menyelesaikan masalah,” ujarnya yang juga Adun Ru Rendang.

DUNIA Melayu atau Alam Melayu adalah sebuah rantau politik dan ekonomi yang sangat strategik sejak zaman pra-sejarah lagi. Kedudukan geografi Alam Melayu yang disebut juga sebagai Nusantara yang berada di tengah-tengah kawasan tamadun awal manusia telah menjadikan rantau ini sangat penting. Di sebelah Timur, berdirinya Tamadun Hwang Ho (kini China) yang mencipta pelbagai kemajuan, sedangkan di sebelah Barat muncul Mohenjadoro dan Harappa (India), Mesopotamia dan Babylon (Iraq), Nil (Mesir) dan Athens (Greek), sehingga menjadikan Alam Melayu penghubung utama kedua-dua belah tamadun.

Kedudukan Alam Melayu yang berada di laluan ekonomi yang utama iaitu Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan telah memboleh komunikasi perdagangan antarabangsa yang lebih cekap berlaku, berbanding Laluan Sutera yang merentasi Siberia yang sangat mencabar. Disebabkan kedudukan strategik ini, muncul bandar-bandar pelabuhan sepanjang pesisirnya, yang kemudian membentuk Kerajaan-kerajaan Kota, sebelum menjadi Empayar-empayar yang besar. Kemunculan Kerajaan Melayu Funan (68-628M), Sriwijaya (600-1100M), Majapahit (1293-1498M) dan Melaka (1400-1511M), adalah gambaran bagaimana Bangsa Melayu menjadi sebuah bangsa dan tamadun yang mempunya empayar besar yang menguasai laluan ekonomi Timur-Barat sehingga abad ke-16M.

Seorang Orientalis, Snouck Hurgronje mengemukakan teori The Greater India untuk menggambarkan keseluruhan pemikiran, kebudayaan dan Tamadun Melayu adalah sebahagian daripada proses ketamadunan India yang beragama Hindu-Buddha. Namun begitu, Bangsa Melayu yang merupakan Bangsa Maritim yang menguasai ekonomi dan politik laut, telah menjadi sebahagian dari kawasan Tamadun Islam mulai abad kesembilan Masehi. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa besar yang dicatatkan pencapaian tamadun mereka dalam catatan China, India, Arab dan Greek, selain turut dikunjungi oleh pengembara terkenal seperti Marco Polo (m. 1324M) dan Ibnu Batutah (m. 1377M). Alam Melayu telah bertukar menjadi kawasan Islam sejak berdirinya daulah Islam yang pertama di sebelah Nusantara di Perlak pada 840M (225H).

Konsep Melayu

Perkataan "Melayu" menjadi perbahasan para sarjana tentang asal-usulnya. Secara akademik, pertama kali perkataan Melayu dicatatkan oleh Sejarawan China pada 644M yang menyebutnya sebagai "Mo-lo-yue." Ada sarjana yang mendakwa ia berasal dari kata "Himalaya" iaitu tempat bersalji, tetapi lebih ramai yang bersetuju ia berasal dari perkataan Jawa, "Mlayu" yang bermaksud berlari atau mengembara, merujuk kepada pergerakan manusia dari Yunan ke Nusantara ribuan tahun dahulu. Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan ia berasal dari dua perkataan "Mela" (mula) dan "Yu" (negeri) iaitu Mula Negeri. Andaian lain ialah perkataan "Melayur" yang bermaksud bukit atau tanah tinggi dan "Malaya" dalam Bahasa Tamil yang bermaksud hujan.

Istilah Melayu diertikan sebagai Bangsa Austranesia yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu dan seluruh Kepulauan Melayu. Ia merujuk kepada orang Melayu di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina hingga ke Madagaskar. Lebih umum boleh dikatakan merujuk kepada bangsa yang bertutur dengan Bahasa Melayu, berbudaya Melayu dan tinggal di Semenanjung dan Kepulauan Melayu. Dalam konteks Malaysia secara yang sempit, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mentakrif orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam. Dalam pengertian ras, Melayu adalah seluruh penduduk asal Nusantara.

Daerah Alam Melayu

Ketika membahaskan konsep Melayu Raya, Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan seluruh Gugusan Kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina adalah Daerah Melayu. Daerah-daerah ini terpisah hari ini kerana dipecahkan oleh penjajah Barat. Takrif ini selari dengan definisi Encyclopedia Britainica Vol. 14 yang menyebutkan "The Malay Archipelago, also known as Malaysian and East Indies contain in the largest group of island in the world consisting of more 3,000 islands of Indonesia dan 7,000 islands and unnamed rocks of Philippines group. The New Guinea island is arbitrary included in the Malay Archipelago."

Kawasan rumpun Melayu adalah meliputi seluruh Negara Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan Malaysia. Sedang di Thailand, Wilayah Melayu adalah seluruh Semenanjung hingga Ratchaburi, 100km di Selatan Bangkok. Tenasserim (Tanah Seri) di Myanmar juga termasuk kawasan Melayu. Di sebelah Utara ia bermula di Kepulauan Nicobar di Lautan Hindi dan Farmosa di Laut China, termasuk Indo-China hingga ke Kepulauan Solomon di Selatan. Dari Barat, ia bermula di Madagaskar hingga ke Fiji. Kawasan kepulauan terbesar di dunia di Tenggara Asia inilah yang dipanggil rumpun Melayu dan menjadi daerah kehidupan bagi orang Melayu.

Agama Bangsa Melayu

Oleh kerana agama adalah teras kebudayaan, bangsa Melayu telah mempunyai pegangan dengan pelbagai agama, sebelum mereka menerima Islam. Dua agama utama yang dianut oleh orang Melayu ialah Hindu dan Budhha, iaitu agama yang dianut hasil daripada perhubungan politik, budaya dan ekonomi dengan India. Selain itu, orang Melayu juga dicatatkan pernah menganut Anamisme dan agama Majusi. Pada peringkat awal, orang Melayu secara umumnya beragama Hindu sehingga Raja Asoka (304-232SM) yang beragama Buddha menguasai India, yang menyebabkan orang Melayu mula menganut agama Buddha. Kebangkitan Hindu pada zaman Empayar Chola (300SM-1279M) yang menyerang Tanah Melayu dan Sumatera pada 1025M, telah menyebabkan orang Melayu kembali menerima agama Hindu. Atas sebab kuatnya pengaruh India terhadap agama orang Melayu, maka sering disebut orang Melayu beragama Hindu-Buddha.

Sheikh Safiyuddin dalam Tarikh Fathani menyebutkan bahawa orang Melayu pernah menerima pengaruh Parsi dan menganut agama Majusi. Namun begitu, sejak 640M, mula wujud pengaruh Arab-Islam di Sumatera, sebelum berdirinya Kesultanan Perlak sebagai kerajaan Islam yang pertama pada 840M. Sejak itu, Islam mulai berkembang dan diterima secara damai sehingga menjelang abad ke-16M, Alam Melayu telah bertukar menjadi Wilayah Islam, terutama dengan munculnya Kerajaan-kerajaan Islam di pelbagai tempat di Nusantara. Antara Kerajaan Islam yang terpenting di Nusantara ialah Melaka (1400-1511M), Johor-Riau-Lingga (1511-1857M), Demak (1475-1554M), Mataram (1587-1755M) dan Aceh (1496-1903M). Kerana tumbuhnya Kerajaan-kerajaan Melayu Islam inilah, Kerajaan Melayu dipanggil "Daulah Islamiyah Melayuwiyah" seperti yang tercatat dalam Itqanul Muluk bi Takdil as-Suluk.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
2 Syawal 1439 / 16 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 16/6/2018

KENDURI besar negeri

Jika berlaku lagi pertandingan tiga penjuru akan menyaksikan kerusi-kerusi Dun dan Parlimen milik Umno akan difaraidkan di antara PAS dan PH. Dalam tempoh peralihan ini, pengundi Umno tidak ada pilihan selain PH atau PAS, anggaran 30 peratus bekas pengundi BN akan mengundi parti PAS dan 70 peratus akan mengundi parti yang menguasai Kerajaan Pusat iaitu PH.

Parti PAS akan berkenduri besar di Kelantan dan Terengganu dengan menambah kerusi Dun dan Parlimen di Kelantan dan Terengganu. Semua kerusi milik Umno di Kelantan dan Terengganu akan jatuh ke tangan parti PAS.

Manakala kerusi Umno di Perak dan Pahang juga jatuh kepada parti PAS sebagai contoh Parlimen Parit di Perak namun tidak mencukupi untuk bentuk Kerajaan Negeri bersendirian.

Manakala di Kedah pula, kadar sokongan kepada PH daripada bekas pengundi Umno lebih tinggi berbanding kepada parti PAS kerana PH berkuasa di negeri dan Pusat pada kadar 70 : 30. Ini mengakibatkan kerusi parti PAS yang dimenangi tanpa undi lebih daripada 50 peratus mungkin akan jatuh pada PH. (nota: hanya 3/15 kerusi Dun milik PAS di Kedah di mana undi lebih daripada 50 peratus). Namun jika kadar hanya sekitar 50 : 50, maka PAS mungkin boleh menguasai Dun Kedah.

Di peringkat Parlimen pula, PH akan mudah mendapat dua per tiga majoriti dengan PAS menambah bilangan kerusi kepada 30-50 kerusi kerana merampas kerusi majoriti Melayu dari Umno. Dengan mendapat majoriti dua per tiga, PH lebih bebas menentukan polisi dan persempadanan semula dengan menambah kerusi yang bercampur (pertambahan kerusi bercampur akan memudahkan PH mengekalkan kemenangan).

Tempoh kenduri besar negeri untuk parti PAS ini hanyalah sementara sahaja dan PRU16 pula akan menyaksikan bekas pengundi Umno yang mengundi PAS akan beralih pula kepada PH kerana PH menjadi kerajaan di Pusat serta perubahan sempadan pilihan raya baru. Fenomena ini umpama pada PRU2004, di mana pengundi Umno yang menyokong PAS pada PRU1999 kembali mengundi BN. Ini akan akibatkan parti PAS mengalami kekalahan teruk di mana dijangkakan kerusi yang dimenangi semasa PRU14 dan PRU15 akan direset semula yang menyaksikan PAS mungkin kehilangan Negeri Terengganu dan Kedah.

Kenduri sederhana Pusat

Keadaan ini akan berlaku jika parti PAS bekerjasama dengan parti Umno sebelum Umno kehilangan sokongan sebahagian besar 3.5 juta pengundi pada PRU14.

Apabila undi PAS dan Umno digabungkan, hampir semua kerusi majoriti Melayu yang dimenangi oleh PH akan kembali kepada gabungan PAS dan Umno (berdasarkan keputusan PRU14 yang menyaksikan PH menang di kawasan majoriti Melayu kerana pecah undi).

Ini ditambah lagi dengan semangat Melayu dan Islam yang akan kembali meningkat dalam kalangan orang Melayu. Keadaan ini akan membolehkan gabungan PAS dan Umno untuk menang majoriti mudah di Pusat.

Apabila parti PAS dan Umno menguasai Pusat, maka banyak perubahan berkaitan Islam akan berlaku seperti perlaksanaan syariat yang tidak memerlukan dua per tiga majoriti Parlimen.

Keadaan ini akan berkekalan hingga tempoh yang agak lama kerana pertambahan pengundi Melayu akan bertambah kerana kelahiran Melayu yang tinggi dan perpindahan keluar orang-orang Cina.

Oleh:
DR ISHAK IBRAHIM
Penganalisis Politik
2 Syawal - HARAKAHDAILY 16/6/2018

PERGERAKAN Islam dalam bentuk jemaah muncul pada abad ke-20M setelah runtuhnya Daulah-daulah Islam, iaitu selepas 1,342 tahun menguasai politik dunia. Berbeza dengan wilayah lain, Nusantara yang dijajah sejak 1511M, merupakan rantau yang paling mencabar dan menjadi tumpuan kuasa Emperial Kristian. Selepas kejatuhan Melaka (1511M), Sunda Kelapa (Jakarta) mulai diduduki oleh Belanda pada 1695, kemudian British menduduki Pulau Pinang pada 1876, sebelum Singapura turut dikuasai pada 1819.

Perang Napoleon di Eropah kemudiannya membawa kepada Konvensyen London 1814 dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang menandakan pecahnya Kerajaan-kerajaan Islam seperti Kerajaan Aceh dan Kerajaan Johor-Riau yang menguasai Selat Melaka. Lanjutan dari itu, berlakunya Perjanjian Siak 1858 dan Perjanjian Pangkor 1874 yang melumpuhkan kuasa politik Islam di Nusantara. Memasuki abad ke-20, Kerajaan-kerajaan terakhir mulai runtuh dengan jatuhnya Pattani (1902M), Aceh (1903M), Tidore (1904M) dan Banjar (1905M), serta Perjanjian Inggeris-Siam 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909 yang membawa kepada penguasaan Inggeris ke atas Negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor.

Perjuangan politik Islam: Dari Daulah kepada Harakah

Kejatuhan Kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara telah membuka langkah para Ulama dalam perjuangan Islam di rantau ini. Ketika Daulah Othmaniyah masih berkuasa, sudah banyak Negeri Melayu jatuh ke tangan penjajah Barat, kerana itu, sehingga abad ke-18 Alam Melayu diwarnai oleh peperangan mempertahan Islam seperti gerakan Adipati Yunus di Melaka (1517 dan 1521M), gerakan Sunan Fatahillah di Sunda Kelapa (1522M), gerakan Sultan Agung Mataram (1628-1633), gerakan Sultan Hassanudin Makasar (1666-1669), gerakan Sheikh Yusof Makasari di Banten (1682-1683) dan gerakan Raja Haji di Melaka (1784M). Penentangan besar-besaran untuk mempertahankan tanah air berlaku sepanjang abad ke-19 di seluruh Nusantara.

Setelah lebih 200 tahun para Ulama bergerak mempertahankan Kerajaan Islam, menjelang akhir abad ke-19, para Ulama Nusantara memulakan langkah baru melalui pembentukan jemaah-jemaah Islam bagi menuntut pengembalian Daulah. Bermula dengan penubuhan Jam'iyatul Fathaniyah di Makkah (1873M), ditubuhkan pula di Pulau Penyengat, Riau badan-badan Islam iaitu Jam'iyatul Rusyidiyah (1880M) dan Jam'iyatul Khairiyah (1884M). Setelah itu berkembang organisasi Islam di Singapura sepanjang 1890-an seperti Persekutuan Darul Adab, Persekutuan Jawi Masakin dan Harbab Askadan, sebelum ia berkembang di Tanah Melayu dan Jawa. Pengaruh Jam'iyatul Khairiyah kemudian berkembang di Betawi sehingga tertubuhnya Jami'at Kheir (atau Djamiat Choir) pada 1901. Dari pembentukan Jam'iat Kheir inilah terinspirasinya penubuhan Sarekat Dagang Islam (SDI) di Solo pada 16 Oktober 1905.

Sarekat Islam pelopor gerakan Islam moden

SDI yang ditubuhkan pada 1905 oleh Haji Samahundi untuk menyatukan gerakan ekonomi Islam, telah bertukar menjadi pergerakan politik Islam apabila ia mula dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) mulai 1906. Perkembangan SI dalam organisasi yang tersusun dilihat sebagai ancaman oleh Belanda. Belanda bukan sahaja menyekat perkembangannya, tetapi turut menubuhkan Sjarikat Dagang Islamiyah pimpinan R.M Tirtoadisurjo pada 1909. Haji Omar Said (HOS) Cokroaminoto yang memimpin SDI Surabaya kemudiannya bergabung dengan Haji Samahundi pada 1912 dan mengambil alih kepemimpinan SI. Bagi mengukuhkan perjuangan SI, pada 10 September 1912, HOS Cokroaminoto telah mendaftarkan SI sebagai badan hukum yang bergerak dalam bidang politik dan agama, selain ekonomi di seluruh Indonesia, tidak terhad di Pulau Jawa sahaja.

Pendaftaran SI kepada notaris B. Ter Kuile di Solo ini telah menetapkan tujuan untuk memperjuangan ekonomi umat Islam, mengembangkan pendidikan Islam, menyatukan pendapat-pendapat orang Islam dan membentuk kehidupan berdasarkan agama Islam. Dengan tujuan baru ini, ia telah mengubah SI daripada sebuah badan ekonomi, berkembang menjadi badan agama dan politik Islam. Pendaftaran SI telah diluluskan dua hari kemudian, iaitu pada 30 Ramadan 1330H bersamaan 12 September 1912M, dan pada 14 September 1912, pemerintah Belanda telah mengesahkan perubahan tujuan dasar SI, lalu menjadilah SI sebagai gerakan politik Islam yang pertama di dunia. Setelah itu, ia bermetamorfosis dengan membentuk Central Sarekat Islam (CSI) pada 1916M, sebelum berkembang menjadi Partai Sarekat Islam (PSI) (1920M), Partai Sarekat Islam Hindia Timur (PSIHT) (1923M), Partai Sarekat Islam Indonesia (PSII) (1929M), Syarikat Islam (PSII) (1973M) dan kini dikenali sebagai Syarikat Islam (SI) mulai 2003.

Kemunculan SI di pentas politik gerakan Islam telah mendahului semua gerakan Islam lain di dunia. Dalam masa yang cepat, pengaruh SI telah berkembang di seluruh Indonesia. Jumlah keahliannya meningkat dari 4,500 anggota pada 1912M, kepada 800,000 pada 1916M. Di Tanah Melayu, Cawangan-cawangan SI telah ditubuhkan di Singapura, Johor Bahru, Beserah, Kuala Nerus, Marang, Kota Bharu, Pattani dan Pulau Pinang antara 1920-1928M. Perkembangan ini telah menyebabkan SI disabotaj oleh penjajah dengan isu khilafiyah dan Komunis pada pertengahan 1920-an yang menyebabkan ia berpecah. Selepas munculnya SI, barulah muncul Ikhwanul Muslimin di Mesir (1928M), Hizbul Istiqlal di Moroko (1936M), Jamaat-e-Islami di India (1941M) Masyumi di Indonesia (1943M), Hizbul Muslimin di Tanah Melayu (1948M) dan PAS (1951M). Ternyata kejayaaan mendaftarkan SI pada akhir Ramadan 1330H telah membawa kepada perkembangan gerakan Islam moden pasca kejatuhan khalifah.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
1 Syawal 1439 / 15 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 15/6/2018

KEMAMAN: Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa tragedi mercun bola, Putera Hairirishah Mohd Alif Shah Aminruddin, 7 tahun.
 
Beliau telah mengunjungi kanak-kanak tersebut dan keluarganya yang tinggal menumpang di rumah nenek mereka, Saidah Abdullah di Rumah Murah Kemasik, di sini kelmarin.
 
Ziarah tersebut dilakukan Ir Saiful sehari selepas mangsa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan setelah empat hari mendapat rawatan di sana.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam pada 7 Jun lalu, mangsa dikatakan terkena percikan api belerang dibakar rakannya menyebabkan muka kanak-kanak itu melecur teruk.
 
Menurut ibu mangsa, Nor Wardah Mohammad, insiden itu dipercayai berlaku apabila rakan mangsa bertindak mengumpul belerang daripada beberapa biji mercun bola.
 
"Kawan Angah (panggilan keluarga) kemudian cucuh api pada belerang dan percikan api yang menyala terkena pada muka Angah yang ketika itu berada berhampiran.
 
"Angah yang pada awalnya dikejarkan ke Hospital Kemaman disahkan mengalami lecur kulit tahap dua pada bahagian muka," jelasnya.
 
Pihak keluarga juga memberitahu, kanak-kanak tersebut akan mendapat rawatan yang mengambil masa panjang serta perlu dirujuk kepada ramai pakar perubatan. 
 
Nor Wardah turut memaklumkan, keadaan anaknya itu stabil dan dibenarkan pulang oleh pegawai perubatan, tetapi perlu berjumpa doktor pakar pada temu janji akan datang.
 
Ir Saiful pada ziarah itu turut memberi perhatian terhadap keperluan boleh dipertimbang untuk keluarga tersebut yang telah 10 tahun masih tinggal menumpang di rumah ibu bapa.
 
Beliau juga berharap pihak berkuasa menggiatkan pemantauan jualan mercun yang walaupun menjadi pendapatan tambahan kepada individu tertentu tetapi mudarat berlaku lebih perlu diberi perhatian serius. -HARAKAHDAILY 14/6/2018

KOLUMNIS

Grid List

KETIKA rencana ini ditulis, sudah dua minggu polis masih belum selesai mengira harta yang dirampas dari Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.

Bukan seorang dua polis membilang, bahkan sepasukan, masih meneruskan mengira duit tunai dan nilai lain harta. Demikian banyaknya harta Rosmah yang dirampas.

Banyaknya harta itu, jika ia adalah hasil sepencarian antara Rosmah dan suaminya, Najib nescaya boleh melambatkan mereka masuk syurga. Terpaksa menunggu di pintu syurga kerana semuanya diaudit dulu, dari mana ia didapati dan cara ia dibelanjakan.

Saya tidak kata harta itu haram. Katakanlah ia hartanya yang sah, tetapi begitulah syarat untuk mauk syurga, semuanya diaudit dulu sebelum dibenarkan masuk syurga.

Saya teringat kisah yang disebutkan oleh seorang Tok Guru dalam kuliahnya di masjid, betapa Nabi S ulaiman terpaksa menunggu selama 40 tahun justeru audit atas hartanya baru selesai.

Nabi adalah maksum. Kalis dosa. Tetapi baginda adalah Raja sealam dunia, maka kekayaannya tidak terkira. Tentulah Nabi itu mendapatkan semua harta secara sah. Nabi dipelihara Allah dari melakukan kesalahan. Tidak diragukan lagi semuanya ahli syurga. Boleh dimasukkan ke syurga tanpa hisab.

Tetapi itu peraturan hendak masuk syurga, semua harta itu diaudit dulu. Hatta Nabi Sulaiman sendiri terpaksa menunggu 40 tahun.

Itulah untungnya orang miskin yang soleh seperti Abu Zar al-Ghafiri yang tidak meninggalkan sebarang, sebaik masuk ke Mahkamah Rabbul Jalil, tiada hartanya yang hendak ditimbang kecualilah lain-lain dosa, maka tidak perlu menunggu lama di pintu syurga. Demikianlah senang orang miskin di dunia untuk masuk ke syurga.

Tetapi orang kaya, sekalipun semua harta diperoleh secara halal terpaksa jenuh menunggu di pintu syurga. Sedang syurga oleh semua tidak mahu menunggu dan bertangguh-tangguh. Jika boleh masa itu juga sekaliannya mahu masuk syurga.

Apakah orang kaya yang dijamin syurga terpaksa bersabar kerana syurga tidak lari daripadanya? Bersabar itu bagi orang di dunia. Lagi tinggi sabarnya lagi besar pahalanya. Tempat membuat pahala adalah di dunia. Di akhirat bukan tempat membuat pahala. Maka semuanya tidak sabar untuk masuk syurga.

Jika Nabi Sulaiman yang tidak diragukan caranya mendapatkan kekayaan terpaksa menunggu 40 tahun, maka apa yang dapat hendak dibayang bagi kita orang awam yang ada sedikit harta dan apa lagi dengan yang sekaya Rosmah itu. Tidak dapat hendak diagak berapa lama audit di Mahkamah Rabbul Jalil itu ditunggu.

Sedang harta yang kita ada itu tidak dapat kita tentukan sah dan batalnya. Sedang yang bersih seperti Nabi Sulaiman terpaksa menunggu tiap-tiap hartayang dimilikinya, auditnya tentulah tidak payah sangat. Tetapi kita orang awam ini diagak banyak sangkut-sangkutnya.

Harta kita tidak setanding dengan harta Nabi Sulaiman. Mungkin tidak perlu menunggu 40 tahun, tetapi percayalah akan menunggu lama juga sesuai dengan jumlah harta yang dimiliki.

Dan bagi harta terkumpul dalam simpanan Rosmah, polis dengan pasukannya mengambil masa berminggu untuk membilangnya, maka berapa belas tahun pasangan Najib dan Rosmah terpaksa menunggu di luar syurga.

Apa yang kita sebut ini adalah atas harta-harta yang sah bersih. Tak termasuk yang didapati secara tidak sah.

Apabila polis mengambil masa yang lama untuk mengira duit yang dirampas, maka lama mana pula terpaksa menunggu audit di Mahkamah Allah itu? – HARAKAHDAILY 13/6/2018

 

FIRMAN Allah:

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ (2)

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak (keraguan) padanya (tentang datangnya dari Allah, sempurna dan benarnya); Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al-Baqarah: 2)

Di antara tanda ketaqwaan ialah menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam semua perkara, sama ada urusan agama atau urusan dunia. Setiap muslim yang berpuasa bertujuan mentarbiyah diri dengan sifat taqwa, mematuhi firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183)

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)

Maka hikmat yang ternyata bahawa Al-Quran dinuzulkan pada bulan Ramadan.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Hidayah atau petunjuk ini diminta setiap rakaat solat wajib dan sunat. Maka keimanan dan penerimaan seseorang terhadap Al-Quran menjadikan hidayah (petunjuknya) adalah penentu kejayaan puasanya sepanjang Ramadan. Setelah meninggalkan perkara yang membatalkan puasanya seperti makan minum dan kepuasan hawa nafsu yang menjadi rukun hidup, sehingga meletakkan kepatuhan kepada perintah Allah dan meninggalkan larangannya lebih penting daripada mengisi perut dan memuaskan hawa nafsu yang dihalalkan di masa yang lain.

Keseluruhan Al-Quran adalah petunjuk yang diyakini benarnya. Terbukti benarnya cerita umat terdahulu yang menjadi iktibar. Terbukti benarnya kejadian alam langit dan bumi yang dapat dilihat atau yang diterokai dengan ilmu sains terkini. Terbukti juga bukan sekadar petunjuk sebenar bagi mengenal Allah Tuhan Yang Maha Esa, cara beribadat menyembahnya, bahkan segala hukum hakamnya adalah benar dengan kegagalan hukum ciptaan manusia dalam seluruh urusan kehidupannya yang mencabar hukum Allah menjadi gantinya, dalam aspek membina jati diri, keluarga dan masyarakat, politik, ekonomi, keadilan dan keamanan hidup.

Wujud penyelewengan daripada hidayah, sama ada kalangan yang melantik tuhan selain Allah, termasuk juga kalangan mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah, atau melarikan diri daripada hukum Allah dengan alasan yang salah atau sesat, seperti menyalahgunakan kaedah Maqasid Syariah atau Siyasah Syariyah atau Usul Feqah sehingga meninggalkan perkara yang nyata Maslahah Muktabarah (yang telah ditetapkan Allah wajib dan halalnya) secara nas, atau Maslahah Mulghah (yang ditetapkan haramnya) secara nas juga. Juga alasan Feqah Aulawiyyat atau Muwazanat yang tidak kena tempat dan keadaannya.

Kini umat Islam berada dalam ujian yang sangat mencabar keimanannya dengan kemunculan kalangan yang pernah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W yang lahir daripada kalangan umat Islam sendiri:

يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنْ أُمَّتِي يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَيْسَ قِرَاءَتُكُمْ إلَى قِرَاءَتِهِمْ بِشَيْءٍ، وَلَا صَلَاتُكُمْ إلى صلاتهم بشيء، يقرءون القرآن يحسبون أَنَّهُ لَهُمْ وَهُوَ عَلَيْهِمْ، لَا تُجَاوِزُ قِرَاءَتُهُمْ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ (رواه مسلم)

“Muncul di kalangn umatku kumpulan yang membaca Al-Quran yang tidak seperti bacaan kamu, begitu juga solat mereka tidak seperti solat kamu. Mereka membaca Al-Quran dengan anggapan petunjuk kepada mereka, sebenarnya menimpa bencana ke atas mereka. Di mana bacaan mereka hanya sekadar kerongkong (tidak ke dalam hati sanubari menjadikannya petunjuk). Sebenarnya mereka tersasar daripada Islam, laksana tersasarnya panah kepada sasarannya” (Hadis Riwayat Muslim)

Sepatutnya contoh generasi awal dijadikan teladan pelaksanaan Islam yang paling matang. Di mana semua para Khulafa’ Rasyidin terlebih dahulu mencari nas Kitab Allah (Al-Quran), sehingga ditanya kepada semua kalangan para ulama sahabat R.A yang berada di zamannya. Apabila tidak ada nasnya daripada Al-Quran, mereka mencari nas Sunnah Rasulullah S.A.W (Hadis). Sekiranya tidak ada, mereka berijtihad dalam lingkungan sempadan dasar umum daripada Al-Quran dan Sunnah. Sebarang pertelingkahan atau perbalahan dalam perkara agama dan dunia diselesaikan oleh Al-Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W berpandukan firman Allah yang diimaninya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (59)

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (pemimpin dan para ulama) dari kalangan kamu (yang beriman). Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisa: 59)

Adapun terkini, muncul kalangan yang berijtihad yang tidak layak berijtihad dalam perkara nas yang nyata, atau memaksa nas itu ditafsirkan mengikut kemahuan hawa nafsunya yang jahat terhadap Islam. Ada juga yang terpengaruh dengan para orientalis bukan Islam yang merancang wujudnya keraguan terhadap Islam yang nyata. Allah berfirman mengingatkan orang-orang yang beriman:

﴿وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ٤٩ أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ٥٠﴾ [المائدة: 48-50]

“Dan Kami turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (48) Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (49) Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal (kepada orang-orang yang penuh keyakinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah (50) (Surah Al-Maidah: 48-50)

Allah telah menamakan hukum yang lain daripada hukumnya adalah hawa nafsu dan jahiliyah. Allah juga menghukum kalangan mereka yang tidak menerima Islam dengan sempurna secara menyeluruh adalah langkah-langkah syaitan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ (208)

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah Al-Baqarah: 208)

Ditujukan kepada mereka yang tidak sempurna keislamannya, memotong atau mengerat ajaran Islam dengan cara terpilih sehingga menerima sebahagiannya seperti hukum ibadat dan hukum kekeluargaan sahaja, tetapi menolak hukum-hukum yang lain, digantikan dengan ideologi atau teori ciptaan manusia, kerana tidak yakin kepada Islam yang sempurna dan menyeluruh.

Akhirnya, lakukanlah muhasabah diri setelah berpuasa sepanjang bulan Ramadan. Jangan hanya sia-sia berlapar dan letih tanpa sifat taqwa yang menentukan hikmah sebenar daripada Ramadan.

Sifat taqwa yang menentukan martabat seluruh manusia di sisi Allah tanpa mengira bangsa dan keturunan, raja, pemimpin atau rakyat, para ulama atau yang jahil, kaya atau miskin.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan dan bersuku kaum, supaya kamu bertaaruf (berkenalan dan bermasyarakat madani). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya atau pangkat atau harta). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Paling taqwa itu ialah paling mentaati Allah dan Rasul-Nya dengan menerima secara iman dan amal seluruh ajaran Islam dan petunjuknya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Syawal 1439 / 18 Jun 2018 - HARAKAHDAILY 18/6/2018